Jumat, April 11, 2008

Catatan Hidup Siti Nurhaliza

ImageShack


KEINGINAN memiliki autobiografi sendiri sudah lama terpendam. Malah Datuk Siti Nurhaliza pernah terfikir mahu merealisasikan impian tersebut ketika majlis perkahwinannya dilangsungkan pada Ogos 2006.Bagaimanapun, hajat di hati terpaksa dilupakan lantaran kesibukan masa dan waktu yang terhad.

Menurut penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, seboleh-bolehnya dia tetap mahu cita-citanya untuk menerbitkan autobiografinya sendiri terlaksana.

“Insya-Allah saya memang ada keinginan untuk menerbitkan autobiografi sendiri. Sebelum ini saya sangka dapat terbitkannya semasa majlis perkahwinan saya tapi kerana tak cukup masa.

“Bila difikirkan semula rasa lebih elok saya hasilkan dan keluarkan sempena ulang tahun pembabitan saya dalam bidang seni ke-15,” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

Menyambung perbualan penyanyi yang kini popular dengan lagu Ku Mahu berkata, buat masa sekarang, usaha ke arah perancangan itu sedang dilakukannya.

“Kakak ipar saya banyak membantu memandangkan dia juga penulis sebelum ini. Kami dalam proses mengumpulkan data dan saya amat berharap semuanya akan menjadi kenyataan,” jelas Siti yang banyak mendapat sokongan kakak iparnya, Rozi Abd. Razak yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia.

Album baruSelain memberi tumpuan pada penerbitan autobiografinya, seniwati muda ini juga bakal muncul dengan album baru berkonsepkan Melayu kontemporari.

Penghibur berusia 29 tahun ini dijangka kembali ke studio rakaman sekitar bulan Jun atau Julai.

“Saya masih lagi dalam proses memilih lagu-lagu yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam album baru itu.

“Ada ramai komposer yang mencipta lagu untuk album ini, jadi saya mahu pilih mana yang bersesuaian.

“Saya mahu berterima kasih kerana semua yang terlibat adalah daripada komposer yang mencipta lagu untuk saya sewaktu Bengkel Cipta Ekspres yang dianjurkan Badan Perlindungan Hakcipta Malaysia (MACP) tempoh hari.

“Mungkin album tersebut akan memuatkan lebih 10 buah lagu,” jelas isteri kepada usahawan ternama, Datuk Khalid Mohammed Jiwa ini lagi.

Tidak tertekanSatu persoalan yang akan diajukan ketika berjumpa dengan penyanyi ini tentunya tentang cahaya mata.

Yang menariknya bicara Siti jika dulu persoalan tersebut umpama satu tekanan buatnya, namun kini tidak lagi.

Sambil tersenyum manis luah Siti, dia kini sudah semakin lali dan boleh menerima pertanyaan banyak pihak terhadap isu keluarga.

“Saya sudah lali dan boleh menerima semua itu. Lagipun ahli keluarga awal-awal dulu saja excited bertanya tentang anak tapi sekarang dah semakin kurang.

“Saya pun tidak begitu tertekan dengan pertanyaan-pertanyaan itu. Kalau saya berisi kelak, sudah tentu saya akan beritahu semua khabar gembira itu,” janji Siti lagi.

Puji SaidaSementara itu, Siti secara peribadi menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian kakaknya Siti Norsaida (Saida) yang dilihatnya semakin mempamerkan persembahan yang menarik dalam konsert mingguan Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

“Saya terkejut kerana dia selama ini cukup pemalu. Tapi sekarang saya makin bangga dengan apa yang dah dia pamerkan. Dia bukan penyanyi profesional tapi apa yang ditunjukkan satu peningkatan yang sangat-sangat ketara.

“Lagipun dia tak pernah masuk pertandingan nyanyian pun. Gugup dan takut itu saya rasa perkara biasa. Tapi dari pemerhatian saya dia semakin memperbaiki dirinya,” jelas Siti penuh optimis terhadap kakaknya itu.

Namun Siti amat-amat berharap agar nasib kakaknya tidak akan di prejudis oleh pengundi.

“Memang dia kakak saya tapi dia masuk AF6 bersebab. Janganlah sebab dia kakak saya, dia dipandang dari sudut lain. Kadang-kadang saya kesian tengok dia kena macam-macam dalam akademi,” kata Siti.


(Utusan Malaysia)

0 komentar: