Rabu, Mei 07, 2008

Siti Nurhaliza Akui Selesa Tampil Imej Berselendang


Penyanyi nombor satu ada prinsip hidup buat perubahan penampilan, bukan secara paksaan

SESEKALI berpeluang duduk bersembang dengan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, pastinya banyak banyak perkara yang ingin dicungkil darinya. Maklumlah, bukan mudah untuk bertemu dengan Siti. Sejak mendirikan rumah tangga, jadual hariannya tidak lagi seperti dulu.

Malah, dalam mana-mana majlis hiburan Siti jarang menunggu sehingga tamat atur cara. Dan tentunya peluang untuk menemu bual penyanyi jelita ini semakin terbatas.

Justeru, apabila Siti mengadakan sidang media sempena mempromosikan lagu Menanti Pasti nyanyiannya yang turut mendapat pencalonan dalam kategori Lagu Terbaik untuk pertandingan Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) di PNB Darby Park, baru-baru ini, peluang itu diibaratkan bulan jatuh ke riba bagi kebanyakan media.

Selama hampir sejam temu bual itu diadakan, banyak perkara yang diajukan pada Siti. Dari kisah pencalonannya di dalam AIM hinggalah kepada reaksinya apabila kakak kesayangan, Siti Nursaida Tarudin atau Saida tersingkir dari Akademi Fantasia sewaktu konsert mingguan kelima tempoh hari.

Tidak ketinggalan, perihal perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap penampilannya sejak kebelakangan ini. Biarpun agak sensitif, itu semua dijawab Siti tanpa sebarang reaksi negatif.





Sebagai seorang selebriti, Siti akui dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Namun dia juga tidak mahu bersikap hipokrit. Justeru katanya, biarlah perubahan yang dilakukannya itu berlangsung secara perlahan-lahan tanpa memerlukan sebarang paksaan.

“Apa yang boleh Siti katakan, Siti lebih selesa dengan penampilan seperti ini (berselendang). Dalam hal ini, orang boleh kata apa saja tetapi yang melaluinya adalah Siti. Dulu Siti pernah juga berkata pada diri sendiri, lepas Siti pergi Makkah, Siti nak pakai tudung, berhenti menyanyi dan duduk rumah.

“Tapi apabila kita melalui situasi itu, ia sebenarnya tak semudah yang disangka. Iyalah, Siti ini seorang penyanyi. Lagu nyanyian Siti ada yang berentak rancak dan memerlukan Siti menari. Keadaan ini ada kalanya meletakkan diri dalam keadaan sukar.

“Jadi, kalau boleh Siti tidak mahu memikirkan sangat perkara ini kerana tidak mahu ia menjadi bebanan buat Siti. Apa pun, semua itu terletak pada hati dan Siti akan lakukan apa yang Siti rasakan selesa,” ujar si pelantun Biarlah Rahsia ini.

Bukan saja penampilan, malahan ramai juga yang mula mempertikaikan keupayaan Siti sewaktu dia membuat persembahan. Terbaru, Siti dikatakan mula kehilangan tenaga dalam menyampaikan lagu bernada tinggi.

“Itulah, Siti pun ada dengar juga. Mungkin disebabkan badan Siti dah naik itu yang semput sikit tu. Lagi pun Siti akui Siti jarang berlatih sejak kebelakangan ini. Bagi Siti dunia nyanyian bukan lagi menjadi keutamaan Siti.

“Jadi apabila kurang latihan dan membuat persembahan, enjin memang lambat panas, itu yang kadang-kadang semput jugak tu,” jelas Siti disulami tawa kecil.

Tak terkejut Saida tersingkir

LUCU juga apabila Siti mengatakan yang dia tidak terkejut dengan penyingkiran kakaknya itu dari Akademi Fantasia. Kata Siti, sejak melihat kakaknya muncul dalam program realiti popular terbitan Astro Ria itu, dia dapat merasakan betapa tertekannya Saida untuk terus berada di situ.

“Siti memang tidak terkejut. Malah Siti sokong keputusan pengundi menyingkirkan Saida kerana Siti kasihan melihat dia dalam program itu.

“Kak Saida macam berat nak hadapi keadaan. Siti faham perasaannya kerana Siti pernah lalui dulu. Penat, tertekan dan seperti yang dia pernah maklumkan mengenai badi pentas sebab itu dia tidak boleh buat persembahan dengan baik,” jelas Siti sewaktu mengulas prestasi kakaknya ketika masih berada di dalam banglo larangan itu.

Ditanya apakah Siti mengizinkan Saida untuk menceburkan diri dalam bidang seni, Siti berkata, dia mengalu-alukan kehadiran kakaknya itu sementelah Saida sendiri pun sudah mendapat restu suami tercinta.

“Siti tak akan sekat kalau dia betul-betul minat. Siti akan beri sokongan setakat mana yang boleh. Tapi buat masa ini dia di bawah pengurusan Maestro dan Siti tak mahu kacau.

“Mengenai penghasilan album untuknya, bagi Siti kalau kena gaya perbincangannya, Insya-Allah tidak ada masalah.

“Bagaimanapun, Siti ada juga nasihatkan dia kalau hendak jadi artis, kena hadapi apa saja dugaan. Sebagai contoh, dekat @15 sendiri macam-macam orang cakap pasal dia. Tapi Siti percaya dia mampu menghadapinya bersandarkan pengalaman yang pernah saya lalui sebelum ini,” ujar Siti yang tidak kisah untuk berduet dengan Saida dalam album pop etniknya nanti.

Hadiah Daripada Hati bukan album tangkap muat

DUA lagunya tersenarai sebagai finalis kategori Lagu Terbaik untuk AIM ke-15. Menanti Pasti yang dipetik dari album runut bunyi Kayangan manakala sebuah lagi diambil dari album terbarunya Hadiah Daripada Hati yang berjudul, Sekian Lama.

“Kedua-dua lagu itu mempunyai kekuatan sendiri. Untuk lagu Menanti Pasti, Siti sebenarnya seronok menyanyikan ciptaan Ajai itu kerana Siti tak pernah menyanyikan lagu berentak seperti itu.

“Lagu ini dia punya feel memang lain. Cukup istimewa kerana Siti perlu menyampaikannya dalam nada lembut kerana temponya membuai-buai, manakala korusnya pula Siti tak perlu jerit.

“Begitu juga dengan lagu Sekian Lama. Siti ada juga hantar lagu lain tetapi nampaknya lagu ini juga yang dipilih. Lagu ini memang romantik dan Siti cuba sampaikan dengan seindah mungkin,” kata penyanyi berdagu lekuk ini.

Menerusi album Hadiah Daripada Hati, selain Lagu Terbaik, Siti juga menerima pencalonan dalam kategori lain iaitu Vokal Terbaik Wanita, Susunan Lagu Terbaik dan Album Pop Terbaik.

“Apabila Hadiah Daripada Hati dapat banyak pencalonan, ini membuktikan album ini bukan album cincai. Ia dibuat dengan penuh komitmen dan kualitinya dijaga.

“Jadi kalau ada yang menganggap album ini tidak berkualiti tidak seperti Transkripsi, andaian itu sebenarnya silap. Ini adalah antara album terbaik yang pernah Siti hasilkan,” tutur Siti dalam nada tegas.

Dijolok pertanyaan apakah dia bakal menyapu bersih semua kategori yang disertainya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini, Siti meletakkan perkara itu kepada rezeki.

“Apa yang penting bagi Siti adalah Siti masih lagi dicalonkan. Namun dicalonkan tak bererti menang. Semuanya bergantung pada rezeki dan diletakkan sebagai lima yang terbaik saja sudah cukup menggembirakan Siti,” ujarnya yang bakal mengadakan konsert dengan kerjasama badan kebajikan Yayasan Nur Jiwa tidak lama lagi.


Powered by Berita Harian


0 komentar: