Jumat, April 25, 2008

Kontroversi Tak Berbekas



DATUK Siti Nurhaliza kian utuh di liganya sendiri. Alasan dirinya sudah melayari bahtera perkahwinan mahupun mengambil keputusan mengenakan imej bertudung, tidak menjadi noktah untuk dirinya terus berkarya dan setia diminati peminat.

Buktinya, Siti terus unggul diangkat sebagai Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-11 menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang lalu. Kemampuannya melontarkan vokal lunak merdu tidak perlu disangkal lagi seiring dengan kematangannya berdepan dengan pancaroba dunia hiburan. Menyedari sama ada dirinya menang atau tidak, pasti akan ada cakap-cakap belakang yang mengekorinya. Itu sudah lumrah yang bukan asing lagi dan Siti akur dengan situasi itu.



“Kemenangan Siti pada ABPBH 2007 lalu menjadi hadiah buat peminat tersayang yang setia menyokong Siti selama ini. Siti tujukan hadiah kemenangan itu buat mereka kerana kejayaan Siti berdasarkan seratus peratus undian peminat. Macam pilihan rayalah juga. Alhamdulillah peminat masih meletakkan kepercayaan kepada Siti.


“Ia ibarat satu tanggungjawab besar untuk Siti terus melakukan yang terbaik. Ia juga menjadi satu ruang penilaian sama ada Siti mampu mempertahankan gelaran itu. Semuanya soal rezeki. Kalau peminat merasakan Siti masih layak menerima sebarang anugerah, silakan untuk terus menyokong. Sebaliknya, kalau peminat ada pilihan yang lain, terpulanglah. Siti akur. Siti sudah pernah berdepan dengan pelbagai isu dan kontroversi sebelum ini, tak kiralah menang atau kalah, pasti akan ada isu yang dibangkitkan. Semuanya lebih menguatkan Siti,” katanya.

Jika anda masih ingat sebelum ini Siti pernah menyatakan hasrat untuk menghasilkan autobiografi dirinya sendiri. Cerita itu bukan sekadar omongan kosong, sebaliknya bakal direalisasikan Siti melalui bantuan kakak iparnya, Rozie. Namun katanya, biarlah autobiografi itu diterbitkan setelah cukup 15 tahun kewujudan Siti menongkah arus seni.

“Mengenai projek autobiografi itu, Insya-Allah ia pasti akan direalisasikan. Malah, Kak Rozie sekarang ini yang bertindak sebagai penulis autobiografi itu dalam proses mengumpul maklumat dan material berkaitan Siti. Kak Rozie pernah cakap nak keluarkannya lebih awal, tapi Siti merasakan mungkin lebih afdal kalau autobiografi itu diterbitkan seiring dengan usia 15 tahun Siti berada dalam industri.

Ia boleh jadi bonus dan koleksi istimewa buat peminat tersayang,” ungkap Siti yang akan mula memasuki studio sekitar Jun atau Julai ini untuk pembikinan album Melayu kontemporari. Album itu ialah satu projek khas yang membabitkan beberapa komposer pilihannya. Album itu diinspirasikan melalui Kem Cipta Ekspres anjuran MACP.

Tidak sah untuk tidak menanyakan Siti berkenaan soal bilakah rumah tangganya bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Siti tidak mengelak dan tenang menjawabnya biarpun sudah acap kali soalan itu ditujukan kepadanya. Pada permulaan episod perkahwinannya bermula, Siti mengakui sedikit tertekan apabila ramai yang menanyakan soalan itu. Namun, kini Siti berserah kepada Yang Maha Esa. Siti sudah bersedia untuk memegang status ibu andai ada rezeki singgah ke dalam hidupnya, pada bila-bila masa.

“Soal anak itu, Siti tidak merancang. Semuanya bergantung kepada rezeki, cepat atau lambat saja. Siti hanya mampu berserah, berusaha, berdoa dan bertawakal. Siti sudah bersedia menjadi ibu, pada bila-bila masa. Dulu di awal perkahwinan Siti dengan Datuk Khalid, memang Siti akui sedikit tertekan apabila soal anak sering diajukan. Sekarang Siti dah okey dan tenang menjawabnya sebaik mungkin,’’ kata Siti yang selesa menggayakan busana dan tudung rekaan Datuk Bernard Chandran, Michael Ong dan Radzuan Radziwill .

INFO: Pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-15

* Bagi Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM 15), Siti dicalonkan untuk lima kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Kulit Album Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Terbaik. AIM 15 juga melihat Datuk Siti mendominasi lebih daripada satu lagu dalam dua kategori iaitu Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu. AIM 15 akan berlangsung pada 3 Mei ini.



( Berita Harian )

0 komentar: