Sabtu, April 05, 2008

APPBH 2007 : Bukan mudah untuk mengekalkan kejayaan

ADA yang sudah beberapa kali naik ke pentas untuk menerima trofi Anugerah Bintang Popular mengikut kategori masing-masing. Bagi mereka, ini ini hasil usaha gigih dan sokongan peminat yang tidak berbelah bagi. Bagaimanapun, mereka mengakui mempertahankan kemenangan bukanlah mudah. Peminat atau orang ramai akan menentukan mereka berhak atau tidak menerima trofi dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Bagi yang pertama kali menang, mereka berasakan ia seperti berada di puncak kerjaya. Pada masa sama, ia juga mengingatkan diri sendiri supaya tidak leka atau alpa, sebaliknya mereka perlu berusaha berkali ganda untuk memastikan peminat membuat pilihan yang betul. Ikuti petikan beberapa pemenang ABPBH2007.

Rusdi Ramli - Pelakon Filem Lelaki Popular

“TIDAK saya terfikir menerima trofi ini. Saya datang untuk memberikan sokongan kepada ABPBH. Bagaimanapun, mungkin hasil kemenangan saya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 tahun lalu banyak membantu kemenangan ini. Kejayaan ini juga tentunya memberi makna sebuah tanggung jawab lebih besar terletak di bahu saya. Trofi ini dari peminat. Mereka percayakan hasil kerja saya. Justeru, sebagai pelakon, menjadi tugas saya untuk terus memberikan persembahan terbaik bagi membalas kepercayaan mereka.”

Fasha Sandha - Pelakon Filem Wanita Popular

“Kemenangan saya ini juga memang tidak dijangka. Malah saya juga tidak kisah jika saya kalah kerana kalau dilihat, produk saya tidak banyak disiarkan berbanding calon lain. Kalau adapun cuma filem Nana Tanjung 2. Tetapi itulah yang dinamakan rezeki. Saya juga tidak melihat kontroversi yang saya lalui ini sebagai pemangkin untuk peminat terus mengundi saya.

Rosyam Nor - Pelakon TV Lelaki Popular

“SAYA amat berterima kasih kepada peminat yang setia memberikan sokongan walaupun sepanjang 2007, tidak banyak kerja saya disiarkan di kaca televisyen. Drama bersiri Iris ialah antara judul yang mungkin membuatkan peminat masih memangkah saya pada ABPBH kali ini.

“Juga bukan satu tradisi untuk peminat memilih pemenang berdasarkan nama juara edisi sebelum itu. Saya pernah memenangi kategori filem, tetapi akhirnya ia diambil alih pelakon lain pula. Kejayaan itu banyak bergantung kepada kerja kita. Bagi saya pula, di samping menerima sambutan baik peminat, biarlah produk itu juga berkualiti.”

ImageShack

Datuk Siti Nurhaliza - Penyanyi Wanita Popular

“MASUK kali ini sudah tahun ke-11, Siti turun naik pentas menerima trofi ini. Siti berterima kasih pada mereka yang masih mempercayai bakat Siti dan terus menyokong Siti walaupun penampilan Siti kini berbeza. Siti amat hargai kepercayaan yang diberikan peminat selama ini. Sebenarnya bukan mudah untuk mengekalkan kejayaan.

Apa yang penting sebagai artis, kita kena sentiasa ada produk baru (album) dan berikan yang terbaik kepada mereka. Siti juga tidak nafikan sebagai artis kita perlu sentiasa berinteraksi dengan peminat kita. Mujurlah Siti ada laman web sendiri dan dari situ Siti berkongsi pandangan dengan peminat Siti. Dan mereka juga ada berikan idea mereka. Kalau sesuai kita gunakan.”

Rabbani - Kumpulan Nasyid Popular

“KAMI bersyukur kerana masih lagi dipilih peminat untuk memenangi kategori ini. Sejak mula dicalonkan sehingga kini, rezeki masih berpihak kepada kami. Apapun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama pihak Berita Harian kerana terus membuka peluang kepada pejuang irama nasyid untuk turut serta dalam acara penuh meriah ini

Sofaz - Artis Berkumpulan / Duo Popular

“KAMI menjangkakan kemenangan ini berpihak kepada Spider. Tidak sangka kami boleh menang kerana senarai finalis tahun ini terdiri daripada nama yang cukup kuat. Dengan kemenangan ini, kami akan melipat gandakan usaha untuk memastikan karya Sofaz terus diterima peminat.

“Kami hadir pada malam ini bukan untuk bertanding, tetapi untuk memberi sokongan kepada ABPBH. Kemenangan ini juga tentunya tidak akan kekal lama. Selepas kami, mungkin ada kumpulan lain yang akan berada pada kedudukan kami sekarang. Tapi, kami bersyukur kerana penat lelah selama ini terbalas dengan kemenangan ini.”

-Berita Harian-

0 komentar: